|

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN SEBAGAI PUSAT PENINGKATAN
KEMAHIRAN DI ANTARA PERBADANAN PEMBANGUNAN INDUSTRI KECIL DAN
SEDERHANA (SMIDEC) DAN INSTITUT LATIHAN DAN PEMBANGUNAN
INFRASTRUKTUR IKRAM (ITiDi).
Satu majlis menandatangani perjanjian di antara pihak SMIDEC dan ITiDi
telah diadakan di Ibu Pejabat SMIDEC, Damansara Uptown, Damansara,
Selangor pada 31hb. Mac 2003 lalu, di mana ITiDi telah dilantik
sebagai salah satu Pusat Peningkatan Kemahiran untuk pekerja-pekerja
kilang industri kecil dan sederhana (SMI) seluruh negara.
Pihak SMIDEC diwakili oleh En. Mansor Saad, Ketua Pegawai Eksekutif
SMIDEC manakala pihak ITiDi pula diwakili oleh Pengarahnya Ir. Tan
Swee Kee. Perjanjian ini disaksikan oleh YB Dato' Fu Ah Kiow,
Setiausaha Parlimen, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri dan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mohamed Khatib Abdul
Hamid, Pengerusi SMIDEC.
Pada peringkat permulaan sebanyak empat kursus kejuruteraan mekanikal
dan lima kursus kejuruteraan elektrikal telah diluluskan oleh pihak
SMIDEC untuk dijalankan oleh ITiDi. Pihak SMIDEC akan membiayai 80%
kos latihan bagi setiap kursus manakala bakinya ditanggung oleh
pihak industri sendiri atau boleh dituntut dari Tabung Pembangunan
Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Dengan termeterainya perjanjian ini, terbukalah lembaran baru di mana
ITiDi akan dapat memainkan peranan serta memberi sumbangan bermakna
kepada pembangunan dan kemajuan industri kecil dan sederhana negara,
khususnya untuk menjadikannya lebih cekap dan lebih berdaya saing
bagi menghadapi cabaran AFTA dan globalisasi.
<< Back to Archives |